Soalan Lazim tentang kelawar/keluang berhubungan COVID-19 di Malaysia

Project Pteropus Logo_2020

15 Ogos 2020

Apakah sebenarnya COVID-19? Apa itu coronavirus?

Coronavirus adalah sebuah keluarga virus yang besar, dinamakan sedemikian kerana rupa bentuknya yang seakan bebola dengan bonggolan yang menyerupai mahkota (corona adalah perkataan Bahasa Latin yang bermaksud mahkota). Secara semulajadinya, terdapat pelbagai jenis coronavirus yang boleh didapati di mana-mana, di dalam semua jenis haiwan (cth. alpaca, burung, kelawar, unta, kucing, musang, lembu, landak, tikus, dll) termasuklah manusia. Sebenarnya, terdapat banyak coronavirus yang tidak merbahaya pada manusia. Walau bagaimanapun, sesetengah coronavirus adalah merbahaya dan boleh menyebabkan penyakit pada manusia. Kebiasaannya ia akan menjangkiti sistem pernafasan, dan penyakit yang berpunca daripada jangkitan ini adalah pelbagai dan boleh jadi ringan atau parah. Penyakit selsema, MERS (Middle East Respiratory Syndrome) dan SARS (Severe Acute Respiratory Syndrome) adalah berpunca daripada coronavirus. COVID-19 adalah penyakit pernafasan  yang disebabkan oleh SARS-CoV-2, sejenis virus baru yang belum pernah dikenalpasti atau dikesan oleh saintis, dan itulah sebabnya ia dipanggil sebagai ‘novel coronavirus’ (coronavirus baru).

Patutkah saya merasa risau bahawa kelawar di Malaysia akan menyebabkan wabak COVID-19? Jika terdapat kelawar berhampiran tempat tinggal saya, perlukah kelawar ini diuji untuk mengesan virus?

TIDAK. TIADA RISIKO jangkitan COVID-19 daripada mana-mana spesies kelawar di Malaysia. Setakat ini, virus SARS-CoV-2 (juga dikenali sebagai nCoV-2019) tidak pernah lagi dikesan di dalam kelawar, dan memang tidak pernah dikesan pada spesies kelawar di Malaysia. TIADA BUKTI yang mengatakan terdapatnya virus serupa atau virus yang menyerupai MERS atau SARS dibawa oleh kelawar buah (keluarga Pteropodidae; termasuklah keluang Pteropus spp.) di Malaysia. Walaupun virus yang menyerupai SARS-CoV dan virus terbaru SARS-CoV-2 telah dikesan di dalam kelawar pemakan serangga (Rhinolophus spp.) di China, di Malaysia kelawar jenis ini tinggal jauh daripada kawasan manusia, dan mengelakkan diri daripada manusia. Kajian sains tidak menjumpai bukti bahawa virus yang menyebabkan penyakit SARS telah berpindah secara langsung daripada kelawar kepada manusia; sebaliknya, musang merupakan vektor yang mengakibatkan wabak SARS yang asal, dan menyebarkan virus tersebut kepada manusia disebabkan oleh penjualan dan pembiakan haiwan liar dan daging haiwan liar di pasar, ladang, dan kedai makan. Walaupun ada kelawar yang sering terdapat berdekatan manusia di kawasan kediaman, kampung-kampung, dan kawasan bandar, adalah amat jarang untuk manusia dijangkiti sesuatu virus secara langsung daripada kelawar; perpindahan virus memerlukan sentuhan fizikal secara langsung seperti gigitan, cakaran, atau pengambilan cecair badan yang berasal daripada kelawar. Kelawar yang mempunyai virus di kawasan habitat semulajadinya, tanpa gangguan manusia, tidaklah merupakan ancaman yang besar pada kesihatan manusia; mengikut statistik, manusia lebih cenderung menjangkiti penyakit berpunca daripada haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing.

Tapi ada ahli sains yang mengatakan SARS-CoV-2 berasal daripada kelawar?

Setakat ini, TIADA BUKTI bahawa kelawar adalah punca wabak COVID-19 di kalangan manusia. Ahli sains yang mengkaji virus serta penyakit yang berpunca daripada virus (ahli virologi) sekadar berspekulasi sahaja mengenai kebarangkalian SARS-CoV-2 berasal daripada kelawar. Ini adalah kerana genom virus tersebut sangat menyerupai (96% sama, iaitu kurang daripada persamaan antara manusia dan orang-utan) genom sebuah coronavirus lain (RaTG13) yang pernah ditemui di dalam satu spesies kelawar pemakan serangga, dan mengikut penjujukan genom, kelawar mungkin boleh merupakan hos asal terdahulu untuk keluarga coronavirus. Walau bagaimanapun, ini tidak bererti kelawar adalah punca langsung jangkitan coronavirus terkini di kalangan manusia. RaTG13 dan SARS-CoV-2 sebenarnya sudah lama terpisah selama 40-70 tahun melalui proses evolusi, dan protein lonjakan (‘spike protein’) SARS-CoV-2 yang membolehkannya menjangkiti manusia lebih menyerupai protein lonjakan dalam coronavirus yang berasal dari tenggiling, bukan kelawar. Beberapa ahli sains telah mengusul hipotesis bahawa SARS-CoV-2 merupakan hasil gabungan coronavirus kelawar dan coronavirus tenggiling, tapi ini hanyalah satu teori, dan masih ada kemungkinan haiwan lain juga terlibat. Oleh itu, haiwan yang merupakan hos sebenar virus SARS-CoV-2 masih TIDAK DIKETAHUI, dan masih banyak lagi jenis haiwan yang perlu diuji untuk menjumpainya.

Jadi, kita harus memahami bahawa perkataan “asal” yang digunakan oleh ahli sains dalam konteks ini, merujuk kepada asal-usul daripada segi evolusi, iaitu sama seperti kenyataan “Benua Afrika merupakan asal semua manusia.” Perkataan ini tidak semestinya merujuk kepada asal-usul virus khusus yang sekarang sedang mengjangkiti manusia pada waktu ini. Setakat ini, tiada kes melibatkan kelawar hidup yang tinggal di habitat semulajadi mengjangkitkan coronavirus yang merbahaya kepada manusia secara langsung tanpa sentuhan fizikal atau gangguan oleh manusia. Selalunya, ada haiwan lain yang akan berfungsi sebagai hos pertengahan untuk menjangkitkan virus tersebut pada manusia (cth musang, unta). Dalam kes di mana sesuatu coronavirus mungkin telah berpindah daripada kelawar kepada haiwan lain sebelum menjangkiti manusia, waktu kejadian perpindahan virus (spillover) ini tidak dapat dikenalpasti. Ia mungkin telah berlaku pada masa yang lampau, bukan pada masa terdekat.

Jadi apa yang menyebabkan wabak COVID-19?

Manusia. Pada ketika ini, cara dan sebab wabak ini terjadi masih tidak diketahui. Kita masih tidak tahu bagaimana sebenarnya virus SARS-CoV-2 ini berpindah daripada haiwan kepada manusia. Kita belum pun mengenalpasti sama ada ia melibatkan sentuhan secara langsung antara haiwan dan manusia. Tiada pun rekod atau laporan yang menunjukkan bahawa kelawar terdapat di pasar Wuhan apabila wabak ini bermula.  Malahan, bukti terkini telah menunjukkan bahawa wabak ini tidak bermula di pasar Wuhan sepertimana ramai telah sering mendakwa. Sebaliknya, jangkitan-jangkitan yang terawal telah bermula di luar kawasan pasar, dan ada kemungkinan penyakit ini telah dibawa masuk ke pasar oleh manusia yang telah dijangkiti. Walaupun beberapa kertas kajian telah mencadangkan beberapa teori, tiada bukti kukuh yang dapat mengenalpasti punca dan asal wabak ini; ia masih BELUM DIKETAHUI.

Jadi pasar hidupan liar bukan puncanya? Hidupan liar bolehlah tetap diburu dan dimakan?

Pemakanan dan penjualan hidupan liar (termasuklah pemburuan dan pembunuhan hidupan liar) sudah semestinya dapat menyebabkan perpindahan virus dan wabak penyakit zoonotik yang menjejaskan kesihatan manusia. Ini merupakan punca wabak SARS, di mana pelbagai jenis haiwan liar diletakkan berhampiran satu sama lain (dan cecair badan masing-masing), dalam keadaan yang kurang bersih, menyebabkan virus dan penyakit berpindah dari satu spesies ke spesies yang lain dengan lebih mudah. Keadaan seperti ini mengakibatkan haiwan yang kebiasaannya tidak berinteraksi antara satu sama lain untuk menyebarkan penyakit antara satu sama lain. Jadi, memang ada risiko untuk mendapat penyakit apabila manusia bersentuhan atau berdekatan dengan haiwan, atau membawa haiwan berdekatan satu sama lain. Risiko tersebut memang lebih tinggi di pasar hidupan liar. Langkah berjaga-jaga yang terbaik adalah untuk mengelakkan sentuhan, pembunuhan, pemakanan, dan penjualan hidupan liar (sebagai contoh, keluang membawa virus Nipah, jadi janganlah ambil risiko memakan atau memburunya). Elakkan menyimpan hidupan liar sebagai haiwan peliharaan.

Tambahan lagi, sentuhan rapat antara manusia dan hidupan liar boleh terjadi apabila habitat hidupan liar dimusnahkan atau dikurangkan. Amalan-amalan industri perladangan yang menyebabkan haiwan berada dalam keadaan tertekan, dan terlalu berdekatan antara satu sama lain (mahupun spesies yang sama), turut menyebabkan penyebaran virus dengan lebih pantas. Di Afrika, apabila manusia membersihkan sebuah gua daripada kelawar yang menghuninya, kelawar-kelawar tersebut kembali ke gua itu dengan kadar jangkitan virus Marburg yang lebih tinggi. Mengikut kajian saintifik, pembunuhan haiwan sebenarnya dapat lebih mempercepatkan penyebaran jangkitan, bukannya membantu mengelakkannya. Oleh itu, perpindahan penyakit dan wabak zoonotik pada masa kini sebenarnya berpunca daripada manusia dan aktiviti-aktiviti manusia, bukannnya haiwan. Manusia sebenarnya yang bersalah, bukan hidupan liar.

Tapi bolehkah saya mendapat penyakit COVID-19 atau virus lain jika saya makan buah yang telah didebungakan oleh kelawar, seperti durian?

Tidak. Virus tidak boleh tersebar melalui cara ini. Coronavirus tidak dapat membesar di dalam tumbuhan. Kelawar dan pokok durian mempunyai hubungan ko-evolusi yang unik, di mana pokok durian telah bergantung pada kelawar selama beribu tahun untuk menjalankan proses pendebungaan yang menghasilkan buah sihat. Buah durian, hasil proses pendebungaan kelawar, telah dinikmati oleh manusia selama beribu tahun tanpa jangkitan virus daripada kelawar. Dan secara lazimnya, memang banyak tumbuhan yang bergantung kepada kelawar sebagai agen pendebunga untuk membiak dan membekalkan buah yang sihat. Oleh itu, kelawar sebenarnya memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan ekosistem seimbang. Secara amnya, anda tidak akan dijangkiti virus daripada kelawar yang singgah di mana-mana bunga atau buah pada pokok selagi anda tidak memegang, mengacau, atau mendapatkan sentuhan fizikal kelawar dan cecair badan mereka. Jika sentuhan fizikal telah berlaku, basuh dengan air dan sabun secepat mungkin. Jangan kutip dan makan buah yang telah dimakan dan dijatuhkan oleh kelawar.

Bagaimana dengan penyelidik yang menangkap dan memegang kelawar? Adakah mereka boleh menyebabkan wabak?

Para saintis yang mengkaji kelawar, seperti kami yang mengendalikan Projek Pteropus di bawah Rimba, mematuhi garis panduan kesihatan dan keselamatan, seperti mendapatkan suntikan vaksin, dan memakai alat pelindung diri seperti sarung tangan apabila menyentuh dan memegang kelawar. Kami tidak menangkap atau memegang kelawar tanpa latihan yang sewajarnya, dan mendapatkan kebenaran dan permit daripada pihak berkuasa terlebih dahulu. Terdapat beribu-ribu saintis di seluruh dunia yang menangkap dan memegang kelawar dengan selamat setiap hari.

Jika ada kelawar yang tinggal berdekatan saya atau datang berdekatan dengan saya, bagaimana saya dapat melindungi diri daripada dijangkiti virus dan penyakit?

Cara untuk hidup selamat bersama kelawar sebenarnya sangat mudah; jika anda tidak mendekati mereka dan membiarkan mereka sendiri, risiko perpindahan penyakit adalah sangat rendah. Jika anda cuba untuk membunuh, menghalau, atau berinteraksi dengan kelawar, anda boleh meningkatkan risiko perpindahan virus. Apabila haiwan berada dalam keadaan tenang dan tidak tertekan, risiko untuk mereka menyebarkan virus adalah lebih rendah berbanding apabila mereka berada dalam keadaan tertekan dan panik. Pembunuhan kelawar bukanlah jalan penyelesaian untuk kawalan penyakit; kajian telah pun membuktikan bahawa kaedah tersebut tidak berkesan kerana ia sebenarnya akan meningkatkan risiko dan mempercepatkan perpindahan penyakit. Ikutilah garis panduan di bawah untuk hidup bersama kelawar dengan selamat:

  1. Elakkan sentuhan fizikal dengan kelawar – jangan sentuh, tangkap, bunuh, atau makan mereka. Jika anda dicakar atau digigit kelawar, sila jumpa doktor.
  2. Elakkan menyentuh cecair badan kelawar seperti najis, kencing, dan air liur. Jika sentuhan telah berlaku, basuh dengan segara menggunakan air dan sabun.
  3. Elakkan memakan atau menyentuh buah yang telah disentuh, dimakan, atau dijatuhkan oleh kelawar.
  4. Elakkan berdiri di bawah tempat kelawar bergantung, atau di bawah kelawar yang sedang makan – jangan ganggu kelawar.
  5. Jika terdapat kelawar yang menghuni rumah anda, sila hubungi pakar sebelum mencuba untuk menghalau mereka.

Muat turun Soalan Lazim dalam bentuk PDF

Versi Bahasa Cina (常见问题FAQ】蝙蝠和新冠肺炎)

Versi Bahasa Inggeris (FAQ on Bats and COVID-19)

Bibliografi:

  1. ‘Covid-19: The public scapegoating of bats needs to stop’ – https://www.ricemedia.co/current-affairs-opinion-covid-19-public-scapegoating-bats-needs-stop/
  2. ‘A Viral Witch Hunt’https://issues.org/a-viral-witch-hunt-bats/
  3. ‘Once and For All: No, We Didn’t Get the Coronavirus From Bats’https://www.haaretz.com/science-and-health/.premium-once-and-for-all-no-we-didn-t-get-the-coronavirus-from-bats-1.8802454
  4. ‘Far from being our enemies, bats need protection now more than ever’ –  https://www.cms.int/en/news/opinion-far-being-our-enemies-bats-need-protection-now-more-ever
  5. ‘Bats not the enemy in the fight against COVID-19’https://india.mongabay.com/2020/04/bats-not-the-enemy-in-the-fight-against-covid-19/
  6. ‘Stop villainising bats, say scientists and conservationists’https://www.thehindu.com/sci-tech/energy-and-environment/stop-villainising-bats-say-scientists-and-conservationists/article31429962.ece
  7. ‘The backlash against bats is a bad idea’https://underthebanyan.blog/2020/05/05/the-coronavirus-backlash-against-bats-is-a-bad-idea/
  8. ‘Angels of the night – it’s time to cut bats some slack’https://www.dailymaverick.co.za/article/2020-04-29-angels-of-the-night-its-time-to-cut-bats-some-slack/
  9. ‘Why are so many viruses being discovered in bats?’https://gbatnet.blogspot.com/2020/05/why-are-so-many-viruses-being.html
  10. ‘Coronavirus Disease 2019 (COVID-19)’ – https://www.cdc.gov/coronavirus/2019-ncov/faq.html
  11. ‘What Is A Coronavirus?’ – https://www.sciencealert.com/coronavirus
  12. Bat Conservation International’s FAQ on ‘Bats, Coronaviruses, and Zoonotic Disease’ – http://www.batcon.org/resources/media-education/news-room/gen-news/80-latest-news/1227-bci-s-faq-on-bats-coronaviruses-and-zoonotic-disease
  13. Wildlife Health Australia’s ‘Novel Coronavirus 2019 (COVID-19)’ Fact Sheet – https://wildlifehealthaustralia.com.au/Portals/0/Documents/FactSheets/Public%20health/Novel_coronavirus-2019.pdf
  14. ‘COVID-19 Coronavirus Leads to More Premature Scapegoating of Bats’ – https://www.merlintuttle.org/2020/01/30/wuhan-coronavirus-leads-to-more-premature-scapegoating-of-bats/
  15. ‘Coronavirus and bats’ – https://batconservationtrust.blogspot.com/2020/02/coronavirus-and-bats.html
  16. ‘”This is not the bat’s fault”: A disease expert explains where the coronavirus likely comes from’ – https://www.vox.com/science-and-health/2020/2/12/21133560/coronavirus-china-bats-pangolin-zoonotic-disease
  17. ‘Give Bats A Break’ – https://issues.org/give-bats-a-break/
  18. ‘Living Safely With Bats’ booklet by EcoHealth Alliance – https://www.ecohealthalliance.org/wp-content/uploads/2018/10/Living-Safely-with-Bats_download.pdf
  19. ‘The coronavirus didn’t really start at that Wuhan wet market’https://www.livescience.com/covid-19-did-not-start-at-wuhan-wet-market.html
  20. Wong M.C., Cregeen S.J.J., Ajami N.J. and Petrosino J.F. 2020. Evidence of recombination in coronaviruses implicating pangolin origins of nCoV-2019. doi:10.1101/2020.02.07.939207. https://www.biorxiv.org/content/10.1101/2020.02.07.939207v1.full
  21. Olival K.J. 2016. To cull, or not to cull, bat is the question. EcoHealth 13(1): 6-8. doi: 10.1007/s10393-015-1075-7.
  22. Swift L., Hunter P.R., Lees A.C. and Bell D.J. 2007. Wildlife trade and the emergence of infectious diseases. EcoHealth 4(1): 25-30. https://link.springer.com/content/pdf/10.1007/s10393-006-0076-y.pdf
  23. ‘Coronavirus not detected in bats and other animals in Singapore so far’. Straits Times, 26 February 2020. https://www.straitstimes.com/singapore/environment/coronavirus-see-a-bat-no-need-to-panic-say-experts
  24. ‘The COVID-19 Virus May Have Been in Humans For Years, Study Suggests’https://www.sciencealert.com/the-new-coronavirus-could-have-been-percolating-innocently-in-humans-for-years
  25. Andersen K.G., Rambaut A., Lipkin W.I., Holmes E.C. and Garry R.F. 2020. The proximal origin of SARS-CoV-2. Nature Medicine 26: 450-452. https://www.nature.com/articles/s41591-020-0820-9
  26. ‘What we know and don’t know about the origins of SARS-CoV2’https://gbatnet.blogspot.com/2020/04/what-we-know-and-dont-know-about.html
  27. ‘Coronavirus: where do new viruses come from?’https://theconversation.com/coronavirus-where-do-new-viruses-come-from-136105
  28. ‘The Origins of SARS-CoV-2: Part 1’https://leelabvirus.host/covid19/origins-part1
  29. Boni M.F, Lemey P., Jiang X., Lam T. T Y., Perry B., Castoe T., Rambaut A. and Robertson D.L. 2020. Evolutionary origin of the SARS-CoV-2 sarbecovirus lineage responsible for the COVID-19 pandemic. doi: 10.1101/2020.03.30.015008. https://www.biorxiv.org/content/10.1101/2020.03.30.015008v1
  30. ‘Viruses of the human body’https://www.the-scientist.com/features/viruses-of-the-human-body-32614
  31. ‘Reasons to care about bats’ – https://medium.com/@alextc.paris/reasons-to-care-about-bats-5701a8ea836b
  32. ‘Bats are a key source of human viruses – but they’re not special’https://www.nature.com/articles/d41586-020-01096-z
  33. Mollente N. and Streicker D.G. 2020. Viral zoonotic risk is homogenous among taxonomic orders of mammalian and avian reservoir hosts. PNAS: https://doi.org/10.1073/pnas.1919176117
Advertisement